FOLLOWERS

Monday, November 16, 2009

Untuk Renungan Bersama


Sejak akhir-akhir ini, saya sering menilai diri sendiri adakah sudah sempurna atau masih banyak lagi kekurangan-kekurangan yang perlu diperbetulkan sebagai hamba Allah, samada menjalani kehidupan seharian dan juga ditempat kerja.
Ye lahkan..manusia tak sempurna, oleh itu kawan-kawan marilah kita menilai diri kita sendiri dan berusaha meningkatkan keperibadian kita sebagai orang muslim di muka bumi Allah ini....

Terdapat beberapa artikel yang saya jumpa di dalam internet yang ingin saya kongsi dengan kawan-kawan semua...

Adab Terhadap Diri Sendiri

Kaum muslimin percaya bahwa kebahagian di dunia dan akhirat bergantung pada perilaku dan adab terhadap diri sendiri dan pada kesucian serta kebersihan jiwa. Begitu juga dengan kesengsaraan disebabkan kerosakan dan kekotoran jiwa hal ini nyata dalam firman Allah :

“ Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya”
( Asy-Syam [ 91] 9-10)

Rasullullah bersabda :

“ Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bila melakukan sesuatu dosa terjadilah bintik hitam dalam hatinya. Bila dia bertaubat dan menghentikan dosanya dan mencela perbuatannya, hatinya akan bersinar kembali, dan apabila dosanya bertambah, akan bertambah pula bintik hitam itu hingga hatinya akan tertutup….”
( Nasa’i dan Tarmizi, hadis hasan sahih)

Oleh yang demikian kaum muslim haruslah berusaha menjaga dirinya dengan membersih dan menyucikan jiwanya. Kerana jiwa yang suci dan bersih dapat menjauhkan diri dari melakukan perbuatan-perbuatan yang buruk dan boleh merosakkan. Beberapa langkah yang perlu di lalui untuk mencapai kesucian jiwa iaitu :

a. Taubat

Taubat yang bermaksud menyucikan diri dari dosa dan maksiat, menyesali segala dosa yang telah dilakukan dan berazam untuk tidak mengulangi. Seperti firman Allah yang bermaksud:

“ Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang seikhlas-ikhlasnya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai….”
(at-Tahrim[66] : 8)

Dan sabda Rasullullah :

“ Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah kerana aku bertaubat setiap hari seratus kali ”
( Muslim )

b. Muraqabah ( Pengawasan )

Umat Islam sentiasa merasakan setiap perbuatan dan pergerakan diawasi oleh Allah. Sehingga mereka yakin bahawa Allah sentiasa memerhatikan dan megetahui segala yang nyata mahupun tersembunyi.Dengan keyakinan itulah manusia merasakan jiwanya tenang mengingati Allah dan puas mendampingiNYA. Ia di nyatakan dalam firman Allah :

“ Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan .....”
( an-Nisa [4] : 125 )

Rasullullah juga bersabda :

” Beribadahlah kamu kepada Allah seperti kamu melihat-NYA, apabila kamu tidak melihat Allah, sesungguhnya Dia melihatmu ......”
(Muttafaq ’alaih)

c. Muhassabah

Melakukan perhitungan terhadap diri sendiri di atas apa yang telah dilakukan demi mengecapi kebahagian di dunia dan akhirat. Sentiasa membuat perhitungan dengan apa yang telah dilakukan. Andainya apa yang dilakukan adalah perkara-perkara yang dilarang, maka mestilah segera beristigfar menyesali perbuatan dan segera bertaubat dan membuat kebaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan muhassabah terhadap diri sendiri.Ianya satu cara memperbaiki, mendidik, menyuci dan membersihkan diri

Allah berfirman :

“ Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah dilakukannya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. ”
(al-Hasyr [59] : 18)

d. Mujahadah (Berjuang Melawan Hawa Nafsu)

Hawa Nafsu adalah musuh yang paling besar bagi setiap individu Islam. Hawa nafsu hanya cenderung untuk melakukan kejahatan dan menjauhi kebaikan.

Allah telah berfirman :

“ Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan.....”
(Yusuf [12] : 53 )

Sebagai umat Islam seharusnya kita berjuang untuk melawan hawa nafsu jangan sampai ianya menguasai diri kita. Didiklah nafsu agar tenang dan tenteram serta suci dan bersih. Allah berfirman :

“ Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”
(al-Ankabut : 69)


Sebagai umat Islam kita mestilah sentiasa berjuang di jalan Allah demi memastikan nafsu terkawal, baik, bersih, suci dan tenteram serta memperolehi kemuliaan dan keredhaan dari Allah S.W.T.


sumber dari: www.al-azim.com
copyright: Jabatan Mufti Negeri Melaka




Sunday, October 18, 2009

Damainya Kampungku..

Agak lama juga saya tak update di blog ni disebabkan busy dengan kerja-kerja office. Sebenarnya entri ni dah lama, tapi tak sempat nak post..
Kali ini saya ingin bercerita tentang kampung kelahiran saya, Kampung Singkir Genting, Yan, Kedah.Di kampung ada mak, ayah, kakak saya, Kak Ina, suami dia, dan 3 orang anak buah saya. Saat paling bahagia buat saya adalah pulang ke kampung dan kesempatan cuti Jumaat dan Sabtu saya habiskan disana.
Kampung saya terkenal dengan dusun buah-buahan kayu seperti durian,cempedak, langsat, rambai, manggis, rambutan dan berbagai-bagai jenis buah-buahan tempatan. Belakang rumah mak ada sebatang sungai yang jernih, mengalir dari kaki Gunung Jerai dan terdapat rekreasi perkelahan di situ, dan orang-orang kampung menggelarkan tempat itu Sungai Tok Selang. Walaupun airnya tidaklah sedalam mana, tapi ramai jugak keluarga datang beriadah disitu. Kanak-kanak yang paling suka mandi disitu kerana airnya cetek..tapi saya tak mandilah disitu, anak-anak je yang seronok mandi..
Dulu masa saya kecil dan remaja adalah mandi dekat situ..seronok...heeee..



Projek Ladang Manggis Organik



Jernihnya air sungai yang mengalir dari kaki Gunung Jerai..





Budak-budak kampung panjat pokok lepas tu terjun ke dalam sungai..



Rumah mak...



Jalan kampung..

Kepada kawan-kawan semua, jemputlah ke rumah mak saya bila cuti sekolah..boleh bermandi-manda disungai..tapi kena datang time musim buah, baru happening...

Tuesday, October 6, 2009

Cabaran Diet Mieza

Hehehe..mula-mula malu juga nak cerita pasal cabaran dietku ni, takut jugak tak tercapai..bukan senang nak menurunkan berat badan ni..tapi bila fikir dua tiga kali, mahu tak mahu, ku mencabarkan diriku untuk menurunkan berat badanku yang dah agak berisi ni sebanyak 6 kg..boleh ke tak? Dimana ada kemahuan di situ ada jalannya...kena pegang prinsip ni..

Orang cakap jangan makan nasi kerana boleh mengemukkan. Betulkah? Sejak dari kecil lagi makanan ruji kita adalah nasi. Bolehkah kita gantikan nasi dengan makanan rendah karbohidrat iaitu 'low carbohidrat'. Tidak...kena makan juga walaupun sedikit. Mengikut kaedah 'Atkin's Diet', kita tidak perlu kelaparan kerana tidak makan, sebaliknya kita boleh mengambil makanan yang mengenyangkan dengan mengatur makanan rendah karbohidrat dalam menu seharian kita dan ianya berbeza dengan cara diet rendah kalori. Senaman juga penting untuk menyihatkan badan kita, disamping mengeluarkan toksin dalam badan dengan mengeluarkan peluh serta membakar kalori di dalam badan kita. Saya memperuntukkan cuma sekali sahaja seminggu untuk berjoging kerana tidak mempunyai banyak masa disebabkan kesibukkan bekerja dan melayan anak-anak dirumah apabila cuti.


Berat Sekarang = 59kg
Tinggi = 153cm
BMI = 25.2kg/m2 (Overweight)
Sasaran berat = 53kg
Sasaran penurunan = 6kg

Menu-menu dibawah adalah contoh menu-menu diet yang saya amalkan, sesetengah menu ada juga yang saya aplikasikan dengan menu yang saya google dari internet..

Contoh Menu Diet Ahad-Khamis

Sarapan pagi dan makan tengahari tanpa nasi putih, mi dan pasta (terpaksalah ku tahan...ku sangat suka pasta)

Sarapan pagi (saya rotate)

1. Sebiji epal dan 2 butir telur rebus.
2. Tauhu jepun dan brokoli masak sos tiram
3. Roti Wholemeal dan 2 butir telur rebus
4. Frozen Vegetables masak sos tiram dan 2 butir telur rebus

Makan tengahari & malam -dengan nasi-separuh sahaja

1. Ayam goreng, sup sayur dan telur mata
2. Sayur campur, ikan masak asam, tauhu jepun sos tiram
3. Ikan asam pedas, sayur campur
4. Tomyam campur
5. Sawi putih masak sos tiram

Nampak macam tak sedapkan? Tapi apakan daya...ku ingin kurus semula....

Snack (kudapan)

Epal, pisang, betik, honeydew, limau sunkist serta rojak.

Menu Jumaat & Sabtu
Hari ini adalah hari kebebasan buat saya untuk makan kegemaran yang saya suka tapi kena berhati-hati dengan kandungan kalorinya..


Semoga saya dapat menurunkan berat badan secara perlahan-lahan dan dapat memakai semula pakaian kegemaran dan mengembalikan keyakinan saya semula..Insyaallah.

Bentuk badan sekarang p/s*..jangan ketawa..tapi saya nak ketawa jugak..hahaha..



Bentuk badan yang menjadi impian saya




Tapi...ada tapinya, walaupun memang susah untuk mendapatkan bentuk badan macam Kim Kardashian sebab dia tinggi dan saya pula rendah, tapi seakan-akan pun jadilah..{^~^}

Kepada kawan-kawan yang sedang berusaha berdiet tu, janganlah buat secara 'crash diet', sebab nanti bila kita berhenti berdiet, berat badan kita akan naik secara mendadak dan tidak kekal lama, bak kata orang simptom 'YO YO'. Lebih baik kita buat secara perlahan-lahan dan bertahan lama, sebab perut kita sudah terbiasa..

'Selamat Mencuba' bersama-sama...chaiyok! chaiyok!


Sunday, October 4, 2009

Nasi Daging @ Nasi Bukhari

Hari Jumaat lalu, saya memasak Nasi Daging, Dalca dan Air Asam untuk suami dan anak-anak. Dah lama juga tak masak Nasi Daging ni. Saya belajar dari ibu saya. Sangat mudah untuk memasak menu Nasi Daging ni sebab ramuan rempah saya beli dari gerai FAMA berdekatan dengan rumah saya, keluaran IMAN..tetapi cara penyediaannya pulak saya tidak copy 100% dari yang tertulis di belakang peket rempah tersebut. Saya tambah sedikit bahan-bahan lain untuk mendapatkan Nasi Daging yang menyelerakan..kalau kawan-kawan nak cuba resepi saya ni dipersilakan...




NASI DAGING @ NASI DAGING (6 orang makan)

Bahan-bahan tumisan:
1 peket rempah Nasi Daging (saya guna IMAN - dibancuh dengan air menjadi paste)
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 batang kulit kayu manis
3 biji cengkih
1 kuntum bunga lawang
Sedikit halia dihiris halus
Daun pandan disimpul
Minyak masak untuk menumis

Lain-lain bahan:
2 1/2 cawan beras, dibasuh dan ditoskan
1/2 kg daging tempatan, dihiris sebesar kotak mancis dan direbus *
* Air rebusan daging
1/4 susu cair Ideal

Cara Penyediaan:
1. Tumis bahan-bahan tumisan di dalam periuk
2. Masukkan paste rempah nasi daging, kacau hingga serata.
3. Masukkan susu cair, kacau lagi.
4. Masukkan daging, kacau hingga bahan-bahan tadi menyerap dalam daging.
5. Masukkan beras, kacau hingga rata.
6. Akhirnya, masukkan air rebusan daging hingga melepasi beras tadi (methodnya sama spt. kita memasak nasi)
7. Kecilkan api, tutup tudung periuk, biar nasi hingga masak.

TIPS:
Untuk mendapatkan nasi yang lembut, kita hendaklah sering mengacau nasi di dalam periuk kerana ia cepat menjadi kerak dan nasi pulak akan menjadi mentah di atas. Jika nasi mentah, tuang air rebusan daging ke dalam periuk tersebut dan kacau hingga rata)



DALCA

Bahan-bahan dikisar:
1 1/2 peket serbuk kari ayam / daging (saya suka cap Tarbus)
1 labu Bawang Besar
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Sedikit Halia

Bahan-bahan untuk tumisan:
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 batang kulit kayu manis
1 tangkai daun pandan, disimpul
sedikit daun kari @ daun karapole (utara)

Bahan-bahan sayuran
3 tangkai kacang panjang
3 biji kentang
1 biji karot
Sedikit daging ayam atau lembu

Lain-lain bahan:
2 keping asam keping
Santan pekat (saya selalu guna RM0.50 je dan ditambah sedikit air)
Sedikit Kacang Dal, direbus dengan sedikit minyak.

Cara Penyediaan:
1. Masukkan sedikit minyak di dalam periuk.
2. Tumis bahan-bahan tumisan tadi hingga naik bau.
3. Masukkan bahan-bahan yang dikisar, gaul rata, biarkan pecah minyak.
4. Masukkan daging ayam atau lembu, kacau rata.
5. Masukkan kacang dal, santan, kemudian masukkan bahan-bahan sayuran tadi.
6. Masukkan 2 keping asam keping
7. Masukkan garam dan perasa, perlahan api, biar sehingga mendidih.



AIR ASAM

Bahan-bahan untuk dikisar:

6 Tangkai cili padi (boleh tambah kalau suka pedas)
1 Tangkai cili merah
1 sudu belacan-dibakar dahulu
Sedikit air asam jawa
Gula, garam, perasa secukupnya.
1 biji tomato dihiris kecil-kecil
1 labu bawang besar berukuran sederhana dihiris nipis.

Cara Penyediaan:
1. Kisar semua bahan di atas kecuali tomato dan bawang besar
2. Masukkan ke dalam mangkuk.
3. Masukkan tomato dan bawang besar, satukan di dalam mangkuk.

Sedia untuk dihidangkan...

Seronok melihat suami dan anak-anak makan masakan yang saya buat ini..mereka tambah sampai 2, 3 pinggan...tapi menu ini tidak boleh disediakan selalu sebab kandungan kalorinya tinggi kerana berasaskan daging dan santan. Tapi sekali sekala mahu mencuba menu ini, dipersilakan...



LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin